Wanita Juga Perlu Romantik...



Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Semua wanita menginginkan pasangan yang menjadi pendamping hidup mereka seorang lelaki yang romantik. Sekiranya boleh seromantis watak lakonan Richard Gere dalam filem Pretty Women yang ditonton ramai. Sememangnya itulah lelaki yang didambakan ramai wanita.
Ramai lagi contoh lelaki yang romantik terhadap isteri dan ini termasuklah junjungan besar kita, Rasulullah SAW. Anda yang terlepas kisah hebat ini, bolehlah rujuk ke entry Teladan: Kemesraan Rumahtangga Rasulullah SAW. Dalam banyak riwayat kisah rumahtangga Rasulullah, saya paling menyukai kisah romantik ini : Diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahawa ketika Rasulullah SAW kembali dari peperangan Khaibar, baginda menikahi Shafiyyah binti Huyaiy r.a. Baginda SAW mengulurkan tirai di dekat unta yang akan ditunggangi untuk melindungi Shafiyyah r.a. dari pandangan orang. Kemudian baginda duduk bertumpu pada lutut di sisi unta tersebut, baginda persilakan Shafiyyah r.a. untuk naik ke atas unta dengan bertumpu pada lutut baginda.


Menurut kajian Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah dalam buku ‘Petua Menjadi Pasangan Romantik’ terbitan Telaga Biru, kebanyakan lelaki cenderung kepada kegiatan seksual, manakala wanita pula cenderung kepada sikap romantik lelaki. Romantik memang sifat yang dikaitkan dengan lelaki biarpun tidak ramai yang memilikinya.

Sikap romantik seorang suami terhadap isteri adalah sifat yang digalakkan dalam Islam. Ia penyubur kasih sayang antara suami isteri. Sifat ini perlulah dikekalkan sepanjang masa walaupun ketika usia semakin tua. Sikap romantik lahir dari hati yang kaya dengan kasih sayang. Ia adalah manifestasi daripada akhlak mulia yang terpancar melalui percakapan dan perbuatan harian. Sikap ini bukan sekadar perlu dilahirkan di bilik tidur, sebaliknya di mana-mana dan pada bila-bila masa selagi ia berada dalam batas kesopanan adab Islam.

Namun begitu, seperti mana wanita, seorang lelaki mahupun suami juga mengharapkan isteri mereka bersifat romantis. Sifat ini pastinya melengkapkan ciri seorang wanita yang penuh dengan kelembutan.

Jika romantis lelaki sering dikaitkan dengan pemberian bunga, makan malam istimewa dan sebagainya, bagaimana pula romantis seorang wanita pada kaca mata suami? Kali ini 
Laman-Seri akan menurunkan sedikit tips untuk pembaca budiman.

1 – Berdandan cantik

Perkara pertama untuk menjadi isteri yang romantik pastinya adalah dengan memenangi pandangan mata suami agar dia melihat anda lebih cantik daripada wanita-wanita lain sekelilingnya.
Isteri hendaklah menjaga penampilan di hadapan suami dengan memakai pakaian yang menarik, berdandanlah cantik-cantik dan kenakan bau-bauan yang menyenangkan suami, kalau boleh setiap masa. Hatta sebelum tidur sekalipun anda harus tampil sedap mata memandang. Tinggalkan baju 'kelawar' anda kerana suami anda bukan 'Batman' mahupun Keluang Man. Kenakanlah baju tidur yang indah atau lebih elok yang seksi di matanya. Suami juga pasti sangat senang jika gaya pakaian dan dandanan anda sesuai dengan seleranya.

2 – Menghias bilik tidur


Isteri hendaklah bijak menghias bilik tidur untuk menwujudkan suasana yang romantik. Pasangkan lilin dan diiringi dengan muzik perlahan yang mampu menjadi halwa telinga yang sedap didengari. Apabila ini dapat dilakukan, suami akan sentiasa berasa gembira sehingga sikap romantik yang ada dapat disuburkan.
3 – Memberi pujian
Semua orang suka dipuji, tidak terkecuali golongan lelaki. Apalagi bila pujian itu bersangkutan dengan kegagahan dan keperkasaan dirinya. Maklumlah, lelaki sering kali berharap untuk menjadi hero, jadi pujian anda akan membuatkan suami merasa dirinya lebih dihargai.

4 – Luangkan masa bersama

Pada zaman serba maju ini, kebanyakan suami isteri sama-sama bekerja mencari nafkah untuk menyara kehidupan. Justeru masa untuk bersama tidak sentiasa ada. Oleh itu anda dan suami sentiasa sibuk, aturlah masa anda untuk melaungkan masa bersama dengannya.

Boleh jadi dengan mengajaknya makan tengah hari bersama, sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Boleh juga mengatur jadual untuk berdua-duaan di waktu hujung minggu. Usaha anda untuk mencari masa bersama dengannya akan dilihat sebagai sesuatu yang romantis dan membahagiakan dirinya.

5 – Berikan sentuhan mesra 

Sentuhan kecil, seperti mengelus tangannya semasa berjalan berdua atau mendakap suami ketika dirinya dalam keadaan sedih akan membuatkan lelaki anda rasa sangat diperhatikan. Begitu juga saat menontoh TV bersama, usaplah rambutnya atau biarkan suami berbaring di ribaan anda. Inilah yang akan menyerlahkan ciri-ciri romantik anda.

6 – Membiarkan dia bebas

Seperti juga dengan anda yang suka bersembang dengan rakan-rakan, suami anda juga punya keperluan ini. Dia juga punya keinginan untuk berkumpul dengan rakan-rakannya. Ini adalah sesuatu yang menyegarkan dirinya, tambahan lagi jika isteri memberi kepercayaan untuk dirinya bebas bertemu rakan. Dia akan berasa senang kerana dipercayai.
7 – Masak makanan yang enak
Pepatah Inggeris ada menyebut, ‘a way to win man’s heart is through his stomach’ atau pun cara memenangi hati lelaki adalah melalui perutnya. Perkara ini ada kebenarannya. Semua lelaki pastinya suka menikmati makanan yang enak, apatah lagi jika ia dimasak oleh isterinya sendiri, khusus untuk dirinya. Ini juga akan membuatkan dirinya sentiasa terkenangkan diri anda di saat berjauhan. Semakin tinggi kemahiran memasak, anda dijamin suami akan semakin sayang pada anda.
8 – Berkongsi rahsia
Ada satu perkara yang boleh membuatkan pasangan yakin bahawa anda mencintainya sepenuh hati. Caranya adalah dengan berkongsi rahsia anda dengan dirinya. Ceritakan rahsia yang tidak pernah anda luahkan pada sesiapa selain dirinya. Perkongsian rahsia ini menggambarkan betapa tingginya keyakinan anda terhadap dirinya.
9 – Berikan kejutan kecil
Semua orang sukakan kejutan. Seperti anda yang akan tersenyum seharian bila mendapat jambangan bunga daripada suami, begitu jugalah dengan dirinya dengan hadiah yang diidam-idamkannya.

Seorang lelaki sangat menyenangi isteri yang ada inisiatif dan kreatif dalam menyegarkan perhubungan. Dia akan merasakan anda wanita yang tidak terduga dan penuh dengan sesuatu yang baru.
10 – Menulis catatan cinta
Selalunya di waktu bercinta, ramai yang menulis surat cinta. Ada kalanya hingga berkajang-kajang panjangnya. Namun aktiviti ini akan terhenti setelah keduanya mendirikan rumahtangga. Oleh itu tidak salah anda sebagai isteri memulakan aktiviti ini kembali.

Kalau sebelum ini anda menulis surat namun seiring dengan perkembangan teknologi, tulis dan hantarkan SMS cinta buat dirinya. Saat membacanya, suami pasti tersenyum dan berasa bahagia. Dijamin ucapan-ucapan cinta yang anda tuliskan tidak akan dipadamkan daripada peti mesej di telefon bimbitnya.

Pada ketika-ketika tertentu, layangkan kad ucapan atau nota-nota pendek yang mengandungi kata-kata romantik yang penuh kasih sayang.
11 – Meraikan hari istimewa
Sebagaimana suami romantik yang sentiasa meraikan hari istimewa anda, begitu juga halnya jika anda mahu dilihat punya sifat yang sama. Jangan sesekali melupakan hari penting dalam hidupnya. Berikan ucapan atau raikannya agar suami berasa anda pasangan hidup yang cukup perihatin terhadap dirinya.

Sekiranya timbul sebarang masalah dalam perhubungan suami isteri, hendaklah ditangani dengan segera masalah tersebut. Usah biarkan masalah itu berlarutan sehingga lukanya membekas di hati.

Semoga bermanafaat untuk semua.
1 Response
  1. Unknown Says:

    salam...nak info dan membeli emas atau menjadi ahli/stokis powergold...KLIP DISINI


    Penyedap Telinga


    orang yang dah join

    Jom Bersembang