Dalam adat Melayu perkahwinan dimulai
dengan pertunangan sedangkan mengikut cara yang diamalkan dalam
masyarakat dulu iaitu nikah gantung adalah lebih menepati maksud khitbah
dalam Islam
bukannya bertunang. Ada orang yang menyamakan khitbah dalam Islam
sebagai pertunangan adalah tidak tepat. Akibat dari cara khitbah yang
salah telah menjadikan pertunangan sebagai asas untuk menghalalkan
“coupling” (dulu disebut berdua-duaan atau merendek) antara lelaki dan
wanita.
Ada yang memberi alasan untuk
ber’couple’ dulu atau bertunang dulu untuk kenal mengenali satu sama
lain sedangkan hubungan perkahwinan bukan isu hukum “cuba-cuba” atau
“trial and error”. Ia adalah satu amanah dalam Islam. Ramai di kalangan
remaja pernah mengatakan, “Alah, takkan tak boleh couple ustaz, kita ni
bukan hidup zaman dulu lagi. Lagipun bukan buat apa-apa, untuk suka-suka
aje!”. Ada yang berkata, “Bertunang boleh kenal hati budi, kalau tak
sesuai boleh putuskan tapi kalau dah kahwin susahlah, nak bercerai
malu!”
Isunya: Siapa kata tak boleh coupling? Nak bercouple, couplelah, tapi kena dengan cara yang halal, iaitu bernikah!.
Apabila persoalan nikah ini diutarakan,
ramai yang akan memberikan respon yang skeptik. “Saya belum bekerja!”,
“Saya masih belajar!”, “Mana nak cari duit buat belanja kahwin?”, “Ni
bukan main-main, nak bagi anak orang makan apa?”, “Mak Ayah tak bagi!”,
“Nak tinggal kat mana? Sapa yang nak bayar sewa rumah” dan 1001 alasan
lagi. Kenapa mereka boleh beralasan untuk melakukan perkara yang halal,
tetapi tidak langsung mengemukakan alasan untuk melakukan perkara yang
haram? Jawapan saya bagi segala persoalan tersebut, mudah sahaja, “Kamu
wajib berkhitbah!”.
Khitbah
Secara literalnya, ia membawa maksud
“bertunang”. Bertunang menurut adat dan pengamalan orang Melayu adalah
perjanjian di antara dua orang insan untuk berkahwin melalui proses
ritual tertentu. Definisi itu jugalah yang terdapat dalam pengamalan
fiqh klasik dan juga di zaman Rasulullah s.a.w. Definisi ini jugalah
yang diamalkan oleh orang-orang Melayu di Malaysia. Malangnya,
disebabkan kejahilan masyarakat, hubungan pertunangan yang sekadar
perjanjian semata-mata ini, akhirnya dianggap sebagai upacara untuk
menghalalkan perhubungan di antara dua pihak yang bertunang. Lebih
dahsyat lagi, ada di antara ibu bapa yang menyangkakan bahawa bertunang
bermaksud “separuh berkahwin”. Ada pasangan yang bertunang,
berpelesiran, berpegangan tangan dan juga bermadu asmara akan cuba
menjustifikasikan tindakan tersebut dengan ikatan pertunangan serta
mendapat restu ibu bapa kedua-dua belah pihak. Lebih menyedihkan ada
yang bertunang kemudian ber’coupling’ berakhir dengan keterlanjuran,
kemudian putus dengan pelbagai alasan.
Khitbah menurut pengamalan orang Arab
moden, terutamanya di Jordan pula amat berbeza dengan pengamalan orang
bertunang secara klasikal dan juga pengamalan orang Melayu. Ia merupakan
“akad nikah” dalam erti kata yang sebenar. Akad khitbah di dalam
masyarakat arab pada realitinya merupakan akad nikah. Seperkara yang
membezakan di antara akad nikah dan khitbah ialah kedua-dua pasangan
khitbah tidak tinggal bersama sehinggalah selesai majlis perkahwinan
dijalankan. Pada dasarnya, mereka berdua adalah suami isteri dan halal
untuk melakukan apa sahaja yang difikirkan untuk mereka melakukannya. Di
dalam masyarakat kita, pernikahan tersebut diberikan nama “nikah
gantung” (bunyinya amat mengerikan?).
Jika ditukarkan nama “nikah gantung”
tersebut kepada “nikah khitbah” tentu konotasi terhadap kontrak tersebut
tidaklah mengerikan. Bunyinya pun agak “islamik”. Jika ia dapat
diamalkan oleh kebanyakan pemuda pemudi kita hatta yang janda, duda atau
yang nak berpoligami serta yang dilanda asmara dan cinta serius
berkemungkinan ia boleh menyelesaikan banyak perkara yang mereka hadapi.
Nikah adalah untuk menghalalkan
perhubungan dan juga membina kematangan. Yang utamanya, kedua-dua
pasangan sudah halal dan sudah boleh bersama dan melakukan apa sahaja.
Bunyinya agak mudah, namun realitinya tidak demikian. Sudah pasti ada
ibu bapa tidak akan bersetuju. Dalam hal ini, anjakan paradigma oleh
para ibu bapa amat diperlukan. Ibu bapa perlu sedar zaman anak-anak
mereka kini bukanlah seperti zaman mereka dahulu. Zaman kini fitnahnya
berleluasa dan kerosakan moral telah menggila. Lihatlah apa yang berlaku
di seluruh tanah air, rasanya pendedahan oleh media massa mengenai
aktiviti pengguguran cukup merisaukan banyak pihak. Apakah ibu bapa
mengharapkan anak-anak mereka menjadi malaikat yang tidak terpengaruh
dengan suasana persekitaran, rancangan-rancangan hiburan dan bahan-bahan
literasi menjurus ke arah maksiat dan nafsu.
Sudah sampai waktunya para ibu bapa
moden membuat anjakan paradigma. Mereka hendaklah menerima realiti
jahiliah moden yang menggila ini. Mereka menghadapi dua jalan
penyelesaian, sama ada menerima arus liberal dan sekular yang
menghalalkan segala perhubungan bebas di antara dua jantina, dan
kemudian mereka yang akan menanggung malu. Atau pilihan kedua, iaitu
untuk membenarkan anak-anak mereka menikmati alam percintaan dengan cara
yang halal, iaitu melalui ikatan perkahwinan. Walau bagaimanapun,
membenarkan anak-anak mereka bernikah di dalam ini adalah satu risiko.
Maka di sinilah peranan ibu bapa moden untuk membantu anak-anak mereka
mengurangkan risiko tersebut demi menyelamatkan agama dan maruah mereka.
Saya sedang berusaha untuk menghidupkan
kembali ‘nikah gantung’ ini dengan panggilan baru iaitu ‘nikah khitbah’,
walaupun menghadapi sedikit masalah penerimaan. Ia semata-mata
bertujuan untuk mengelakkan perkara maksiat yang boleh berlaku seperti
berhubungan melalui telefon (melepas rindu dendam melalui telefon, sms,
chatting, facebook, dll), bertemu antara pasangan walaupun ada mahram
(tetap akan berlaku bertentang mata dan apa sahaja yang boleh menjadi
muqaddimah kepada zina mata, tangan, hati dll.) Saya sendiri bernikah
gantung (nikah khitbah) pada 7/7/1979 iaitu 6 bulan sebelum majlis
kenduri. Dengan tiket nikah saya tiada masalah untuk menemui isteri atau
keluar bersama-sama (ber’couple’) kerana dah disahkan sebagai suami
isteri (gantung – sebab tidak duduk serumah) yg lebih menepati khitbah
secara Islam. Malah dengan tiket nikah itu membuatkan saya merasai beban
amanah sebagai suami meskipun kami tidak serumah sementara menunggu
majlis kenduri pada bulan Disember 1979. Saya mahu menjadi ibubapa yg
awal pada zaman moden yang penuh kecelaruan dengan menjadikan nikah
khitbah dipraktikkan oleh anak-anak saya yang belum berkahwin,
insyaAllah doakan!!
Artikel oleh: Ustaz Hashim Al-Maranji
p/s:ingin tengok contoh surat untuk nikah khitbah...jom klik sini
p/s:ingin tengok contoh surat untuk nikah khitbah...jom klik sini