9:02 AM
|
By Abu Aisyah Humaira...d(^_~)b...
Pada
setiap petang Jumaat, selepas solat Jumaat, selepas melayani para
jamaah di Masjid, Imam dan putera lelakinya yang berumur 11 tahun akan
keluar ke bandar untuk mengedarkan risalah bertajuk “Jalan Ke Syurga”
dan juga menyampaikan ceramah agama.
Pada petang Jumaat itu,
seperti biasa Imam dan putera lelakinya akan keluar untuk mengedarkan
risalah. Bagaimanapun pada petang tersebut keadaan di luar rumah sangat
sejuk dan hujan pula turun dengan sangat lebat.
Budak itu memakai
baju sejuk dan baju hujan dan berkata “OK ayah, saya sudah bersedia”.
Ayahnya berkata “Bersedia untuk apa?”. Budak itu menjawab “Ayah, masa
telah tiba untuk kita keluar mengedarkan buku-buku tentang Islam ini”.
Ayahnya membalas “Anakku, di luar sana sangat sejuk dan hujan lebat
pulak”.
Dengan muka yang kehairanan, budak itu bertanya ayahnya, “Tetapi ayah, adakah manusia tidak masuk neraka jika hari hujan?”
Ayahnya
menjawab, “Anakku, Ayah tak akan keluar dengan cuaca begini..”. Dengan
nada sedih, budak itu bertanya, “Ayah, boleh tak benarkan saya pergi?”.
Ayahnya teragak-agak seketika, kemudian berkata, “Anakku, awak boleh
pergi. Bawalah buku ini semua dan berhati-hati” .
Kemudian, budak
itu telah keluar dan meredah hujan. Budak sebelas tahun ini berjalan
dari pintu ke pintu dan lorong-lorong sekitar bandar. Dia memberikan
risalah dan buku kepada setiap orang yang ditemuinya.
Setelah dua
jam berjalan dalam hujan, akhirnya tinggal hanya satu naskhah padanya.
Ketika itu dia telah basah kuyup dan berasa sejuk hingga ke tulang.
Budak itu berhenti di satu penjuru jalan sambil mencari seseorang untuk
diberikan buku tersebut. Namun keadaan di situ lengang. Kemudian dia
berpatah balik ke rumah pertama yang dia lalu di lorong itu. Dia
berjalan di kaki lima menuju ke rumah tersebut. Bila sampai di pintu
hadapan, dia menekan suis loceng namun tiada sesiapa yang membuka pintu.
Dia tekan lagi dan lagi, tetapi masih tiada jawapan. Dia tunggu lagi
tetapi masih tiada jawapan.
Akhirnya dia berpaling untuk
meninggalkan rumah tersebut, tetapi seperti ada sesuatu yang
menghalangnya. Dia kembali ke pintu itu dan menekan lagi suis loceng dan
buat pertama kalinya mengetuk pintu dengan kuat. Dia tunggu, kemudian
seperti sesuatu di anjung rumah itu menghalangnya supaya jangan pergi.
Dia menekan suis loceng sekali lagi dan kali ini dengan perlahan pintu
dibuka.
Berdiri di hadapan pintu itu seorang perempuan tua yang berwajah kesedihan. Dengan perlahan perempuan tua itu bertanya,
“Apa yang boleh saya bantu awak, wahai budak?”.
Dengan senyuman serta mata yang bersinar yang boleh menyinarkan bumi, budak itu berkata,
“Makcik,
saya mohon maaf kalau saya telah mengganggu makcik. Saya hanya ingin
memberitahu bahawa Allah sangat sayang dan sentiasa melindungi makcik.
Saya datang ini hendak memberikan sebuah buku yang terakhir ada pada
saya ini. Buku ini menerangkan semua tentang Tuhan, tujuan sebenar Tuhan
menjadikan kita dan bagaimana untuk mencapai kebahagiaan daripada-Nya” .
Kemudian, budak itu menyerahkan buku terakhir itu dan berpaling untuk balik. Sebelum berjalan balik, perempuan itu berkata,
“Terima kasih ya anak dan semoga Tuhan memberkatimu” .
Selepas
solat Jumaat pada minggu berikutnya, Imam menyampaikan ceramah agama
seperti biasa. Dia menamatkan ceramahnya dengan bertanya,
“ Ada sesiapa yang ingin bertanya soalan atau ingin berkata sesuatu?”.
Dengan perlahan, di barisan belakang di kalangan tempat duduk muslimat, suara seorang perempuan tua kedengaran di speaker,
“Tiada
di kalangan jemaah yang berkumpul ini mengenali saya. Saya tidak pernah
hadir sebelum ini. Sebelum hari Jumaat yang lepas, saya belum lagi
memeluk agama Islam bahkan tidak terfikir langsung untuk memeluknya.
Suami saya telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu, meninggalkan
saya sebatang kara, saya benar-benar keseorangan di dunia ini.”
Pada
petang Jumaat yang lepas, ketika cuaca sejuk dan hujan lebat, saya
telah bertekad untuk membunuh diri kerana sudah putus harapan untuk
hidup. Jadi saya mengambil seutas tali dan sebuah kerusi lalu menaiki
loteng di rumah saya. Saya ikat tali tersebut dengan kuat pada kayu
palang di bumbung rumah kemudian berdiri di atas kerusi, hujung tali
satu lagi saya ikat di sekeliling leher saya. Sambil berdiri di atas
kerusi, saya berasa benar-benar keseorangan, patah hati. Saya
hampir-hampir hendak melompat tiba-tiba loceng pintu berbunyi di tingkat
bawah dan saya tersentak. Saya berfikir untuk menunggu sebentar, dan
pasti orang itu akan pergi. Saya tunggu dan tunggu, tetapi bunyi loceng
semakin kuat dan bertubi-tubi. Kemudian orang yang menekan suis loceng
itu, mengetuk pintu pula dengan kuat. Saya berfikir sendirian lagi
“Siapalah di muka bumi ini yang boleh buat begini? Tiada siapa pernah
tekan suis loceng itu atau nak berjumpa dengan saya”. Saya longgarkan
tali ikatan di leher dan kemudian pergi ke pintu hadapan. Ketika itu
bunyi loceng kuat dan semakin kuat.
Bila saya buka pintu dan
lihat, sukar untuk dipercayai oleh mata saya, di anjung rumah saya itu
berdiri seorang budak yang sangat comel yang bersinar wajahnya seperti
malaikat, tidak pernah saya jumpa sebelum ini di dalam hidup saya. Budak
itu tersenyum. Oh! Saya tidak dapat hendak gambarkan kepada anda semua.
Perkataan yang keluar daripada mulutnya menyebabkan hati saya yang
telah lama mati tiba-tiba hidup semula, seruan budak itu seperti suara
bayi yang sangat comel.
“Makcik, saya datang hendak memberitahu
bahawa Allah sangat menyayangi dan sentiasa melindungi makcik”. Kemudian
dia memberikan kepada saya sebuah buku bertajuk “ Jalan Ke Syurga” yang
saya sedang pegang ini.
Bila “malaikat kecil” itu telah pulang
meredah sejuk dan hujan, saya menutup pintu dan membaca dengan perlahan
setiap perkataan yang tertulis di dalam buku tersebut. Kemudian saya
naik semula ke loteng untuk mendapatkan semula tali dan kerusi. Saya tak
perlukannya lagi.
Oleh sebab di belakang buku ini ada tertera
alamat tempat ini, saya sendiri datang ke masjid ini ingin mengucapkan
syukur kepada Tuhan. Tuhan kepada budak kecil yang telah datang tepat
pada waktunya, yang dengan demikian telah terhindar jiwa saya daripada
keabadian di dalam neraka.
Ramai yang berada di dalam masjid
ketika itu menitiskan air mata. Mereka melaungkan TAKBIR…ALLAH HU
AKBAR…gemaan takbir bergema di udara. Imam iaitu ayah kepada budak itu
turun dari mimbar pergi ke barisan hadapan di mana “malaikat kecil” itu
sedang duduk.
Dia mendakap puteranya dengan air mata keluar tanpa
disedarinya. Mungkin tidak ada jemaah yang memiliki saat yang lebih
mulia ini dan mungkin di alam semesta ini belum pernah melihat seorang
ayah yang penuh kasih sayang dan penghormatan terhadap anaknya. Inilah
satu peristiwa..
Berbahagialah anda kerana membaca kisah ini.
Jangan biarkan kisah ini di sini sahaja. Bacalah lagi dan sampaikan
kepada yang lain. Syurga adalah untuk umat-Nya. Ingatlah, dengan
menyebarkan firman Allah boleh mengubah hidup seseorang yang hampir
dengan anda. Sila kongsi kisah menarik ini.
Sebarkanlah kalimah Allah, kalau kita bantu Allah, Allah akan membantu kita dalam semua perkara yang kita buat.
Maksud firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 3;
“…pada
hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu)
dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan
umatnya), sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka,
sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku
telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu
kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu,
maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang
diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka
bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani”