Hidup terlalu singkat untuk membenci. Memaafkan pasangan hidup kita
seperti memaafkan diri sendiri! Kesalahannya yang besar sekalipun wajar
dimaafkan apatah lagi yang sengaja diperbesar-besarkan oleh kita
sendiri.
Tirulah sifat Al A'ffu (Maha Pemberi Maaf) Allah SWT…
yang terus-terusan memaafkan kesalahan hamba-Nya selagi kitam sudi
bertaubat. Hanya dosa syirik, selain itu… pengampunan Allah tidak
bertepi dan "bertapi" lagi.
Jadi siapakah kita yang tidak mahu
memaafkan kesalahan suami atau isteri kita? Kita hanya manusia yang
turut berdosa… Apakah kita terlalu suci untuk tidak memaafkan dosa orang
lain? Sesungguhnya, manusia lain berhak mendapat kemaafan sesama
manusia. Dan manusia yang paling berhak mendapatkan kemaafan itu tidak
lain tidak bukan ialah isteri atau suami kita.
Kerana cinta Allah
terus sudi memaafkan, dan kerana cinta jugalah kita seharusnya sudi
memaafkan kesalahan pasangan kita hanya kerana mengharapkan kemaafan
Allah. Ingatlah, kita mencintai mereka bukan kerana mereka mencintai
kita, tetapi kerana perintah Allah agar mencintai mereka!
Katakan
kepada diri, betapa sukar sekalipun, kau wajib memaafkan. Memang
kadangkala ada tingkah lakunya, tutur katanya atau sikapnya yang terlalu
menyakitkan hati… Ditahan-tahan rasa, ditutup-tutup mata, dipujuk-pujuk
jiwa, tetapi kesalahan itu terbayang dan terkenang jua. Hendak
melupakan? Ah, jauh sekali. Sekadar memaafkan pun begitu berat terasa di
hati.
Bila datang perasaan semacam itu di hati mu… sedarlah
ketika itu Allah menguji cinta mu! Allah bukan sahaja menguji cinta mu
kepadanya, tetapi menguji cinta mu kepada-NYA.. Pada ketika itu
terujilah cinta kita, apakah benar-benar cinta kerana Allah atau cinta
hanya mengikut perasaan atau cinta nafsu? Memang, orang yang paling
dapat membuat diri mu marah ialah orang yang paling kau cintai. Jadi
bila kita diuji begini katakan pada diri… Oh, Tuhan Kau sedang
mengajarku erti cinta dan sabar.
Jika benar cintakan dia kerana
cintakan DIA (Allah), maka mudahlah kita mengorbankan perasaan marah.
Justeru sesungguhnya cinta itu sentiasa mengatasi dan mendahului rasa
marah. Jika cinta kalah oleh marah, itu menunjukkan cinta kita belum
benar-benar cinta! Kita bukan cintakannya, tetapi hanya cintakan diri
kita sendiri.
Kemaafan itu akan memberi ketenangan bukan sahaja
untuk isteri atau suami mu tetapi buat hati mu sendiri. Percayalah,
kebencian dan kemarahan kita terhadap seseorang (lebih-lebih lagi kepada
orang yang kita cintai) adalah lebih menyeksa diri sendiri berbanding
dia yang kita marahkan. Kemarahan seumpama `bom jangka' yang menunggu
saat untuk meledak di dalam diri kita. Ia boleh menjelma menjadi satu
penyakit cinta yang sangat menyakitkan. Nama penyakit itu ialah "benci
tapi rindu".
Sekali lagi, untuk mendapat ketenangan dalam hidup…
berilah kemaafan. Kata ahli psikologi, bila kita memaafkan barulah kita
`bebas' dari belenggu individu, peristiwa dan keadaan yang kita marahkan
itu. Selagi belum memaafkan, selagi itulah apa yang kita marahkan
sentiasa melekat pada diri dan hati kita. Kemarahan itu adalah "api"
dalam hati kita. Ia panas dan membahang dalam diri. Manakala kemaafan
umpama salju dingin yang akan memadamkannya.
Justeru, memaafkan
pasangan adalah tradisi atau "life style" orang-orang yang soleh.
Sayidina Umar memaafkan isteri yang meleterinya. Sayidina Ali pernah
memaafkan Siti Fatimah yang pernah mengguris perasaannya. Kita tentu
ingin meneladani mereka bukan? Bermulalah dengan sesuatu yang mudah,
maafkan orang yang hampir dengan kita. Siapa lagi, kalau bukan isteri
atau suami?
Islam menuntut kita memaafkan musuh kita sekalipun…
Apatah lagi memaafkan isteri atau suami sendiri. Ingat, kita tidak akan
bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia. Bahagia itu bukan
dengan mendapat, tetapi dengan memberi. Bukan hanya memberi keperluan
fizikal dan material tetapi keperluan jiwa dan emosi, itulah kemaafan.
Dan hakikatnya suami atau isteri kita lebih berhak untuk mendapat
kemaafan itu sebelum kita memaafkan orang lain!
Anehnya kita
sukar memaafkan orang yang masih hidup. Kita lebih mudah memaafkan orang
yang telah mati. Sedangkan kemaafan itu penting untuk orang yang masih
hidup, bukan untuk orang yang telah mati. Bayangkan, isteri atau suami
kita tiba-tiba sahaja meninggal dunia dan kita tidak sempat
memaafkannya, tenangkah hati kita ketika ditinggalkan oleh sidia buat
selama-lamanya? Sedangkan masih ada yang "tidak selesai" antara
hati-hati kita berdua?
Atau kita sendiri yang tiba-tiba meninggal
dunia, bolehkah kita kembali dengan tenang sebelum memberi kemaafan
kepada orang lain? Jangan bertangguh lagi, maafkanlah, kerana tanpa
kemaafan itu kita akan diburu rasa bersalah sepanjang hayat sekiranya
salah seorang kita pergi menghadap Ilahi dahulu.
Percayalah! Saya
pernah mendengar cerita betapa ada seorang suami yang kematian isteri,
yang hingga kini masih terseksa jiwanya akibat tidak memaafkan isterinya
yang tiba-tiba mati dalam satu kemalangan yang tidak
disangka-sangkanya. Mintalah kemaafan, dan berilah kemaafan, jika benar
kita sedari mati itu datang tiba-tiba!
Telah berapa kali saya
ulangi bahawa jika kita tidak maafkan orang lain, samalah dengan tidak
memaafkan diri sendiri. Hati kita akan lebih menderita kerana itu. Telah
terbukti ramai penghuni rumah sakit jiwa adalah terdiri daripada mereka
yang bakhil… Bakhil kerana harta? Bukan! Tetapi terlalu bakhil untuk
memberi satu kemaafan. Jangan lokek untuk memberi maaf, jika tidak,
hidup kita akan sentiasa diselubungi stres, murung dan resah walaupun
mungkin tidak sampai dihantar ke rumah sakit jiwa.
Kekusutan
fikiran bukan disebabkan oleh sakit urat saraf tetapi kerana emosi
kehampaan, kekecewaan, kekhuatiran, kerisauan dan ketakutan akibat benci
dan marahkan sesuatu, seseorang atau keadaan. Penyakit ini tidak dapat
diubati oleh sebarang pil, antibodi ataupun vaksin… tetapi hanya oleh
tindakan memaafkan orang lain. Memberi maaf itu adalah terapi dan
penawar jiwa yang lara.
Seorang ahli falsafah, Plato pernah
berkata,"kesalahan ahli perubatan ialah cuba mengubat tubuh badan tanpa
mengubat fikiran. Sedangkan fikiran dan jasad adalah satu dan tidak
harus dirawat berasingan." Insya-Allah, sekiranya penyakit jiwa dan
fikiran diubati terlebih dahulu maka penyakit lahiriah akan dapat
diubati dengan mudah. Siapa doktornya? Bukankah diri kita sendiri?
Apakah ubatnya? Ya, sikap pemaaf.
Justeru antara adab tidur yang
dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk diamalkan oleh kita ialah memaafkan
kesalahan orang lain. Setelah membaca "4 Qul", doa tidur dan
zikir-zikir yang lain, kita diminta memaafkan semua kesalahan orang lain
pada hari itu. Dan "orang lain" yang paling dekat dan hampir dengan
kita ialah teman tidur di sebelah… siapa lagi kalau bukan isteri atau
suami kita.
Maafkanlah kesalahan pasangan kita sebelum episod
hari itu berakhir. Jangan simpan dalam "fail" di hati sanubari kita.
"Delete" segera sebelum ia bertukar menjadi virus yang akan merosakkan
rasa cinta, sayang, kemesraan dan kerinduan antara kita suami isteri.
Jangan lagi fikirkan "sepatutnya, dia tidak boleh buat begitu atau
begini…" Selagi masih ada fikiran yang semacam itu, maka selagi itulah
tidak akan ada rasa ingin memaafkan atau meminta maaf.
Siapa kita
yang sepatutnya dilayan, dihormati dan dibelai mengikut jangkaan kita
sendiri? Sebenarnya, jangkaan kita dalam satu-satu itulah yang
menyebabkan berlakunya keretakan.
"Isteri ku sepatutnya bersikap begini terhadap ku. "
"Suami ku tidak sepatutnya bersikap begitu dengan ku."
Jangkaan-jangkaan
inilah yang menimbulkan kekecewaan apabila ia tidak berlaku seperti
yang kita jangkakan. Dan anehnya itulah yang sentiasa berlaku. Kenapa?
Jawabnya mudah, dunia dan kehidupan tidak seperti yang kita jangkakan.
Oleh itu jangan menempah sakit jiwa dengan sering menjangkakan sesuatu
yang tidak mampu dan tidak sepatutnya dijangka. Sebaliknya, terima atau
jangkalah sesuatu yang tidak dijangkakan!
Justeru, bila berlaku
sesuatu yang tidak dijangkakan bersumber dari pasangan kita, maka sikap
memaafkan adalah penawar yang paling melegakan. Oh, sepatutnya begitu,
tetapi dia begini, tak apalah… aku maafkan. Aku akan terus
mengingatkannya, mendidiknya dan mendoakannya. Semua itu kerana aku
masih dan terus cintakannya. Bila ada maaf, itu petanda ada cinta. Tiada
ungkapan, "tiada maaf bagi mu" selagi ada rasa cinta.
Kekadang
ada yang terlalu sukar memaafkan pasangannya. Mereka ini sentiasa kesal,
menyesal dan kecewa atas kesalahan, kekurangan dan kelemahan suami atau
isterinya. Mereka yang diserang penyakit "benci tapi rindu" ini akan
menyeksa diri sendiri. Kekadang isteri dimarahi, diherdik dan dicaci
pada siang hari, namun pada malamnya dia akan tidur bersamanya lagi.
Rasulullah SAW sangat membenci sikap suami yang begitu.
Mereka
yang sukar memaafkan pasangan hidup akan terseksa sepanjang hidup. Hidup
dalam kebencian, kesepian, kemurungan dan rasa bosan yang berpanjangan.
Bila dekat timbul jemu, bila jauh timbul rindu. Jadi maafkanlah selagi
dia menjadi teman hidup mu. Petanda cinta mu akan ke syurga ialah rumah
tangga mu di dunia menjadi tenang, damai dan harmoni. Apalagi yang boleh
menyumbangkan ke arah itu kalau bukan kemaafan?
Kata ahli
psikologi, "Tuhan boleh mengampunkan segala dosa kita, tetapi sistem
saraf kita tidak." Maksudnya, sistem saraf tidak akan bertolak ansur
dengan ketegangan dan kerisauan. Dan jauh lebih lama sebelum itu
Rasulullah SAW telah mengingatkan, matilah kamu dengan marah mu!
Saudara/i
ku, aku yang menulis ini pun masih bermujahadah untuk memaafkan. Lalu
di akhir catatan rasa dan gurisan jiwa ini, ku hadiahkan sebuah puisi
seadanya. Tentang gelombang rasa dan gejolak jiwa sendiri dalam sebuah
episod dalam hidup ku sendiri. Sudi apalah kiranya kau tatapi bersama…
SUKARNYA MEMAAFKAN
Aku benci rasa ini
Walaupun ia bertandang di laman hati
Kenapa kau menjelma semula
Setelah menghilang sekian lama
Kau kah itu yang pernah menghadiahkan
Satu luka berdarah yang menyakitkan
Kenapa perlu ku temui lagi warna pilu
Ketika kau lalu di tepian kalbu
Ah, terasa segalanya terlalu laju
Bila batas-batas masa dikira
Puluhan tahun tidak lama
termanggu aku seketika…
di pinggiran nostalgia
… sukarnya memaafkan
….sukarnya melupakan
Segalanya kini sudah berubah
Sejak ikatan hati itu terungkai
Episod demi episod telah mendewasakan…
Kita semakin matang mentafsirkan!
Kalau benar cintakan Allah…
Hati kita tak kan terpisah
Dan entah kenapa tiba-tiba kini…
Kita dipertemukan semula
…di persada kemaafan
bila butiran wahyu menyapa
Tuhan semulia itu pun bisa memaafkan
Lalu dendam luruh seluruh…
Walau di awalnya terasa susah sungguh!
SUMBER: http://genta- rasa.com/